Sifat Semulajadi Tulang Yang Sihat :
Sebuah perjalanan kearah kesihatan tulang yang sihat
untuk tubuh yang sejahtera dan sempurna.
Pertanyaan : Dalam kesibukan harian kita berapa kalikah kita berhenti sejenak untuk berfikir tentang kesihatan tulang? Kebanyakan orang mungkin akan menjawab, "Tidak selalu".
Kesihatan tulang hanya akan diambil berat bila tulang sudah rosak, patah atau anda didiagnosis dengan osteoporosis. Namun tidak ramai yang sedar bahawa disetiap saat telah berlaku dalam tubuh kita, berjuta-juta bahagian kecil tulang yang lama, yang lemah sedang larut dan tulang baru sedang mengambil-alih tempatnya. Kesihatan tulang sebenarnya adalah teramat penting dalam menjamin kesejahteraan hidup kita seperti mana sistem kardiovaskular atau pencernaan kita – cuma ia tidak kelihatan atau terasa dengan segera.
Tulang yang menjadi rangka tubuh kita adalah organ yang benar-benar menakjubkan. Ia terdiri daripada 206 batang tulang yang dihubungkan oleh 360 sendi, yang mana setiap satunya mempunyai fungsi yang tersendiri. Rangka kita ini adalah suatu yang dinamik dan boleh berubah seperti bahagian lain dari tubuh. Tulang-tulang tubuh mengalami transformasi dimana setiap atom dalam rangka kita digantikan dalam tempoh tiga bulan kerana tubuh kita terus memantau dan meningkatkan kekuatan tulang kita. Oleh itu, dengan beredarnya masa tulang kita akan berbeza keadaan saiz, ketumpatan dan kekuatannya. Ini sekali gus menjadi penentu tahap kesempurnaan kesihatan kita.
Peranan tulang dan hubung kaitnya dengan kesihatan tubuh badan manusia adalah diluar kefahaman kebanyakan dari kita. Tulang sihat bukan hanya sekadar menjadi penyokong bagi seluruh tubuh kita tetapi
Peranan tulang dan hubung kaitnya dengan kesihatan tubuh badan manusia adalah diluar kefahaman kebanyakan dari kita. Tulang sihat bukan hanya sekadar menjadi penyokong bagi seluruh tubuh kita tetapi
- Ia adalah kilang untuk sel-sel darah kita, memastikan bekalan segar sel darah merah dan putih yang sedia untuk memenuhi keperluan tubuh kita untuk oksigen dan fungsi kekebalan tubuh.
- Ia gudang mineral, pergudangan kalsium, fosforus, silika, dan nutrisi lain yang diperlukan dalam tubuh kita.
- Ia mempertahankan pH tubuh kita, melepaskan sebatian mineral alkali secara strategik ketika tubuh kita menjadi terlalu berasid.
- Ia melindungi organ-organ kita yang paling vital dari bahaya, menggendong mereka dalam baju besi yang keras namun fleksibel. Semua peranan, dan banyak lagi, yang penting untuk kesihatan kita.
Bagi menjelaskan secara lebih terperinci lagi tentang gangguan kesihatan yang berkait rapat dengan tulang belakang dan sistem saraf adalah seperti dibawah ini :
Faktor – faktor Penyebab Gangguan Tulang, Tulang Belakang dan Sendi
o Kurang bersenam menyebabkan keupayaan dan keanjalan otot berkurangan. Tubuh menjadi tidak kuat, ini memudah dan mendedahkan diri kepada kecederaan tulang terutama ketika melakukan kerja yang lasak seperti mengangkat barang.
o Posisi atau postur badan yang tidak betul ketika melakukan kerja, terutama ketika mengangkat barang boleh menyebabkan ketegangan otot malah mencederakannya. Posisi yang salah membuat tulang belakang berhentakan sehingga rawan terganggu.
o Berehat (baring) yang lama boleh membuatkan sakit belakang bertambah teruk dan menyebabkan seseorang pesakit mengalami tekanan, kemurungan, melemahkan otot dan kemungkinan berlakunya darah beku pada kaki.
o Duduk, memandu atau berdiri terlalu lama dan bergerak menggunakan kasut bertumit tinggi boleh menyebabkan sakit tulang belakang.
o Tekanan kehidupan. Masalah kehidupan yang tidak dapat diurus dengan baik menyebabkan tekanan kepada pemikiran dan membawa kepada sakit pinggang atau tulang belakang
o Merokok. Asap rokok akan mengurangkan aliran darah ke bahagian bawah tulang belakang dan menyebabkan cakera (disk) lebih mudah mengalami kemerosotan.
o Tidur di atas tilam yang terlalu keras atau lembik sehingga anda ‘tenggelam’ apabila baring di atasnya.
o Posisi tidur dalam keadaan lengkungan tulang belakang yang tidak normal(bengkok). Ini membuatkan otot meregang dan tidak membantu penjajaran tulang belakang - semuanya menyumbang kepada masalah sakit belakang.
o Masalah fizikal semulajadi faktor genetik atau keturunan seperti serat kologen yang lemah dan kalsium yang berkurangan atau akibat dari kemalangan.
o Faktor usia. Proses degeneratif yang berlaku seiring dengan peningkatan usia mengakibatkan gangguan pada struktur akibat kerusakan tulang belakang, cakra (disk) atau persendian dimana cakra (disk) menjadi kering, atau terjadi keporosan pada tulang belakang.
Osteoporosis dan Arthritis
Puncak kepadatan tulang bagi seseorang berlaku pada usia antara 20 – 25 tahun. Osteoporosis dan Arthritis adalah penyakit yang boleh dicegah dari belaku jika langkah pencegahan digerakan dari awal lagi terutama sebelum berusia 30an.
Walaupun tiada siapa pun boleh terlepas dari mengalami salah satu dari keduanya ini, namun usaha untuk tidak sampai ketahap menderitainya boleh dilakukan dan ia bukanlah suatu yang terlewat bagi mereka yang telah mengalaminya. Dimana ada kemahuan disitu ada jalan.
Apakah dia OSTEOPOROSIS?
Perkataan ‘osteoporosis’ adalah dari kata dasar ‘porous bone’ atau tulang yang rapuh.Osteoporosis adalah penyakit tulang (skeleton) yang mengurangkan kekuatan tulang dan meningkatkan risiko untuk patah. Kesemua tulang selain dari muka dan kepada boleh diganggu oleh osteoporosis, tetapi bahagian yang paling mudah untuk patah atau retak adalah tulang pinggul, tulang belakang, pergelangan tangan atau kaki dan tulang rusuk.
Pengaruh OSTEOPOROSIS pada tulang belakang
Keluhan yang sering dirasakan oleh seorang pesakit osteoporosis ialah sakit belakang dibahagian bawah (Low Back Pain). Pada dasarnya tulang manusia dapat dibahagikan kepada dalam 2 jenis mengikut kepadatannya, iaitu :
1.Tulang trabekuler, yang mempunyai anyaman kurang rapat. Jenis tulang ini terdapat terutama pada seluruh tulang belakang(tulang leher, tulang dada, tulang pinggang dan tulang ekor) dan bagian leher dari tulang paha.Bentuk anyaman yang kurang rapat ini menjadikan tulang tersebut untuk menjadi cukup elastis bagi menerima beban. Bila tulang tersebut cukup elastis maka setiap lenturan yang terjadi sewaktu bergerak atau bekerja dapat dilakukan sehingga individu tersebut tidak merasa sakit.
2.Tulang kortikal, yang mempunyai anyaman lebih rapat. Jenis tulang ini terdapat terutama pada semua tulang yang panjang dan berfungsi sebagai penahan rangka tubuh.
Kombinasi antara kolagen dan kalsium menjadikan tulang kuat dan fleksibel untuk menahan tekanan dari aktiviti harian kita. Lebih dari 99% kalsium tubuh terletak pada tulang dan gigi. Dan hanya 1% bakinya terdapat pada darah.
Sepanjang manusia hidup, tulang terus mengalami perkembangan dan pemulihan atau ‘remodeling process’. Proses yang dilalui oleh tulang adalah penghakisan dan pembentukan. Sel tulang lama yang mengalami kerosakan dan terhakis akan disebut osteoclasts.
Pada proses pembentukan tulang semula, jaringan tulang baru akan menggantikan sel-sel tulang lama proses ini adalah osteoblasts.
Osteoclasts dan osteoblasts berlaku secara silih-ganti sepanjang proses perbaikan, disaat itu tulang memerlukan berbagai hormon dan vitamin untuk menghasilkan tulang yang sempurna, iaitu:
- Calcitonin
- Parathyroid
- vitamin C
- hormon estrogen (pada perempuan)
- hormon testosteron (pada lelaki)
Kadar kehilangan ketumpatan tulang dikalangan wanita adalah lebih tinggi terutamanya di 5 tahun yang pertama selepas putus haid (menopause). Ini disebabkan ovari telah berhenti menjana hormon sex wanita iaitu estrogen. Estrogen adalah salah satu dari bahan utama yang membantu mengurangkan kadar kerosakan tulang dan mengekalkan ketumpatan tulang.
Tanda dan Gejala
Osteoporosis, atau kehilangan tulang (bone loss) selalunya disebut ‘silent disease’ sebab ia berlaku tanpa sebarang simptom atau amaran awal yang jelas. Osteoporosis mengambil masa beberapa tahun untuk berkembang.
Tanda osteoporosis termasuklah
- Gigi menjadi rapuh, goyang dan gugur
- Sakit sendi,
- Sukar untuk berdiri lurus atau duduk.
- Kepatahan tulang tanpa hentaman atau hentakan. Apabila tulang menjadi nipis (rendah dalam jisim tulang), perpecahan tulang pergelangan tangan, tulang pinggul atau tulang spinal (vertebra) lebih senang patah.
- Batuk atau bersin mungkin menyebabkan patah tulang dada (rib) atau berpotensi untuk tulang belakang menjadi reput. Kepatahan tulang dalam usia lanjut boleh menjadi serius, kerana tulang tidak boleh membaiki diri sendiri dengan berkesan. Ini boleh menyebabkan arthritis dan mungkin kecacatan; bagi setengah warga emas mereka tidak boleh hidup berikutan kecederaan.
- Ketinggian tubuh semakin berkurangan. Tubuh mula membongkok, dan ini yang biasa berlaku di kalangan warga emas. Ia berlaku apabila tulang vertebra patah ( atau pecah ) membuatkan susah untuk menyokong berat badan.
Osteoporosis terjadi bila tulang kehilangan garam galian (mineral), seperti kalsium, pada kadar yang lebih laju berbanding proses gantian yang boleh dilakukan oleh tubuh, ini menyebabkan tulang kehilangan ketebalan dan ketumpatan. Akibatnya, tulang menjadi kurus atau nipis dan tidak padu (less solid) dan dengan hanya kemalangan kecil sahaja boleh mengakibatkan patah yang serious.
Di Malaysia, patah kerana osteoporosis dikenalpasti sebagai masalah kesihatan yang utama terutamanya dikalangan warga tua. Bahagian yang mudah patah adalah tulang belakang, pergelangan tangan atau kaki dan tulang pinggul. Patah tulang pinggul adalah teramat ditakuti kerana ia selalunya akan membawa kepada risiko kematian seawal di tahun pertama kecederaan.
Walaupun jika mereka selamat di awal kemalangan, tetapi 75% pesakit yang patah tulang pinggul adalah mereka yang hilang upaya, hanya 25% sahaja yang boleh meneruskan aktiviti normal mereka.
Hasil kajian pada tahun 1997 di Malaysia, kes patah tulang pinggul dikalangan mereka yang berusia 50 tahun dan keatas adalah 90 orang bagi setiap 100,000 orang. Manakala kos perubatan membabitkan keretakan pinggul pada 1997 dianggarkan berjumlah RM22 juta. Angka ini terus meningkat mengikut peringkat umur, dan kadar tertinggi adalah dikalangan wanita.
Hormon pertumbuhan dan hormon seks estrogen (wanita) dan testosterone (lelaki) memproses dan mengawal jumlah mendapan bahan mineral dalam tulang. Perubahan pada paras hormon boleh memberi kesan ke atas kekuatan tulang.
Risiko wanita berhadapan dengan tulang rapuh lebih besar berbanding lelaki. Hampir 80 % wanita putus haid berhadapan dengan masalah tulang rapuh kerana penghasilan estrogen menurun dengan drastik selepas menopaus.
Lelaki berhadapan dengan tulang rapuh antara 5 atau 10 tahun selepas wanita, kerana hormon testosterone tidak menurun secepat estrogen.
Mereka yang cenderung untuk mengalami osteoporosis atau masalah tulang rapuh jika berhadapan dengan masalah berikut:
- Berusia 50 tahun ke atas
- Binaan tubuh yang langsing
- Putus haid awal (menopause) sebelum 45 tahun
- Menjalani pembedahan pembuangan ovary
- Kitaran haid yang tidak normal (tidak datang lebih dari 6 bulan)
- Tidak bersenam dan tidak bergerak aktif seperti banyak berehat diatas katil
- Merokok – Merendahkan paras hormon estrogen bagi wanita.
- Penagih alcohol dan dadah
- Pengambilan ubat-ubatan seperti ubat mencairkan darah, diuretic dan kortikosteroid (untuk rawatan arthritis dan asma).
- Latar belakang keluarga berpenyakit Osteoporosis.
- Kurang memakanan/minuman yang berkalsium.
- Kurang pengambilan makanan bernutrisi.
Osteoporosis boleh terjadi akibat dari perubahan hormon-hormon tubuh
- Hipertiroidism (kelenjar tiroid yang sangat aktif)
- Gangguan kelejar adrenal. Dalam Sindrom Cushing, penghasilan berlebihan kortisol (hormon yang dihasilkan oleh kelenjar adrenal) menyebabkan osteoporosis.
- Kurang pengeluaran hormon seks ( estrogen dan testosteron).
- Gangguan di kelenjar pituitary
- Penyakit buah pinggang
- Kencing manis.
- Gangguan penyerapan seperti 'Coeliac disease' (penyakit seliak) dan Crohn's disease(penyakit crohn).
Osteoporosis selalunya tidak didiagnosakan sehinggalah tulang lemah dan menyebabkan tulang patah.
Bagaimana mencegahnya?
Osteoporosis adalah penyakit yang boleh dihalang dan dicegah dari berlaku.
- Binalah tulang yang kuat, terutamanya sebelum berusia 30 tahun adalah cara terbaik untuk menghalang osteoporosis
- Gaya hidup yang sihat adalah teramat penting untuk mengekalkan tulang yang sihat.
- Jangan atau berhenti merokok, elakkan dari minum minuman beralkohol atau bergas.
- Lakukan senaman yang boleh menguatkan otot tubuh dan meningkatkan kecergasan.
- Mengamalkan supplement yang akan membantu dan menyihatkan tulang dan sendi yang mempunyai kandungan kalsium dan vitamin D pada setiap hari. Walaupun kalsium diketahui mengurangkan risiko tulang rapuh ia juga berperanan dalam memastikan kemantapan otot, pembekuan darah dan fungsi saraf. Malah ada kajian yang mengaitkan kepentingan kalsium dalam mengurangkan risiko kes berulang polip pada kolon iaitu faktor yang merangsang barah kolon.
- Lakukan pemeriksaan berkala untuk mengetahui keadaan kesihatan tulang – Ujian Ketumpatan Tulang (Bone Density Test).